Pembangunan pendidikan, keperluan sekolah di Kadamaian terus diberi tumpuan – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan pendidikan, keperluan sekolah di Kadamaian terus diberi tumpuan – Ewon

21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengulangi komitmennya untuk terus memberikan tumpuan pembangunan pendidikan dan keperluan sekolah khususnya di kawasan Kadamaian.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, selain pembangunan pendidikan, keperluan pembangunan inftastruktur seperti jalan raya dan keusahawanan juga akan diberi perhatian sewajarnya.


“Sebagai Wakil Rakyat DUN Kadamaian, saya akan terus menyokong dan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan keperluan sekolah-sekolah kawasan Kota Belud khususnya Kadamaian selain memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur dan keusahawanan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Anugerah Potensi Akademik Unlimited (AngPAU II), Tahun 2023 di Raia Hotel, hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang.


Majlis itu adalah satu majlis penghargaan dan motivasi kepada warga pendidik di Kota Belud yang telah memberikan sumbangan dan prestasi cemerlang dalam bidang pendidikan.


Ewon turut mengalu-alukan majlis seumpama itu bagi menghargai pengorbanan warga pendidik yang terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam melahirkan generasi masa depan negara.


"Guru umpama pelita yang menerangi kehidupan sepanjang hayat. Saya berharap para pendidik di daerah Kota Belud terus berbakti dan melaksanakan amanah yang diberikan.


“Jangan pernah lelah menjadi pelita. Biar penat mendengar, jangan penat bercakap. Peranan guru sangat signifikan dalam melahirkan insan berkualiti dan berdaya saing seterusnya menyumbang tenaga dan bakti kepada pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara," katanya.


Mengenai keusahawanan, Ewon berkata, sebanyak RM44 bilion telah diperuntukkan kepada kementeriannya untuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang memberi manfaat kepada golongan usahawan PMKS, di seluruh negara.


Beliau berkata, di bawah TEKUN sebanyak RM330 juta disediakan untuk kemudahan pembiayaan kepada para peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.


"Sebanyak RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan masyarakat India. Manakala RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan," katanya.


Selain itu, turut disediakan pembiayaan sebanyak RM100 juta di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khusus untuk ibu tunggal dan golongan miskin.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page