top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembudayaan koperasi dalam masyarakat tingkat kesedaran keusahawanan komuniti: Ewon



26 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pembudayaan koperasi dalam masyarakat dapat meningkatkan kesedaran keusahawanan di kalangan komuniti, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, program pembudayaan koperasi yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di kawasan Kadamaian amat dialu-alukan dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.


“Program seumpama ini wajar dilaksanakan diperingkat agensi agar maklumat terkini, seperti insentif kerajaan dapat disampaikan terus ke akar umbi.


“Ini kerana sebagai sebuah Keluarga MADANI kita perlu sentiasa bantu membantu agar kemuafakatan dan kebersamaan terpelihara di bawah satu bumbung. Ke arah ini, konsep “Membudayakan Masyarakat Berkoperasi” bertepatan dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh SKM untuk melahirkan masyarakat berilmu keusahawanan melalui koperasi,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Zon Ulu Wariu (NATESA), di Dewan Serbaguna SIB Kg.Nahaba, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan wakil-wakil agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan para pemimpin setempat.


Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan melalui Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) SKM berupa kanopi kepada wakil Peniaga-peniaga Tamu Tradisi Komuniti Kawasan Kadamaian dan bantuan bakul makanan kepada gerakan koperasi di Kota Belud.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyeru penduduk zon Ulu Woriu (NATESA) yang belum menjadi mana-mana anggota koperasi supaya berusaha menubuhkan koperasi keluarga, koperasi pelancongan atau koperasi pertanian.



“Penglibatan dalam koperasi bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada ekonomi dalam kalangan ahli-ahlinya tetapi berupaya membangunkan sosioeskonomi di kawasan kampung yang pasti memberi manfaat kepada semua penduduk setempat.


“Masyarakat telah menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sekadar tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.


Ewon berkata, proses penubuhan sesebuah koperasi juga telah dipermudahkan iaitu lima orang yang mempunyai kemahiran atau bidang perniagaan yang sama kini boleh menubuhkan koperasi.

“Kita telah menambah baiki pengurusan permohonan pendaftaran Koperasi, di mana pada hari ini, lima orang yang mempunyai aktiviti yang sama sudah boleh menubuhkan sesebuah koperasi.


“Oleh itu saya berharap program pada hari ini dapat meningkatkan kesadaran kepada masyakaat Kadamaian mengenai potensi perniagaan dalam koperasi,” katanya.

bottom of page