top of page

Pemimpin Muda Perlu Diberi Ruang Memimpin, Bukan Sekadar Tunggu Giliran – Jainysius

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


TUARAN, 8 Julai – Generasi muda mesti dilayan sebagai rakan seperjuangan yang setara, bukan sekadar pewaris yang menunggu giliran, kata Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran, Jainysius Sipan.


Dalam ucapannya pada mesyuarat perwakilan UPKO Bahagian Tuaran, 5 Julai lalu, beliau menegaskan bahawa peluang kepimpinan harus diberikan secara adil kepada golongan muda tanpa mewajibkan mereka melalui tempoh menunggu yang panjang.


"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya; kalau tidak diberi peluang, manakan lahir pemimpin yang berjaya," katanya, sambil menambah bahawa kemunculan pemimpin baharu adalah lumrah semula jadi dalam mana-mana organisasi.


Jainysius turut menggesa kepimpinan parti supaya tidak lagi menjadikan anak muda sekadar pengisi korum atau peneman majlis. Sebaliknya, katanya, mereka harus dilibatkan secara aktif dalam membuat keputusan, menyumbang idea, dan memimpin bersama.


"Kami mahu memimpin bersama, bukan sekadar hadir ke majlis," ujarnya.


Sambil mengakui jasa dan sumbangan besar pemimpin senior, Jainysius menekankan bahawa proses peralihan kepimpinan amat penting bagi memastikan perjuangan parti terus berkekalan pada masa hadapan.


"Yang tua kita hormati, yang muda kita beri peluang. Jika pernah tersilap, kita belajar supaya kesilapan itu tidak berulang," katanya.


Berkongsi pengalaman peribadi, Jainysius mendedahkan bahawa beliau mula mengenali perjuangan UPKO sejak usia 16 tahun atas dorongan arwah bapanya, dan mula aktif pada usia 18 tahun dengan niat ikhlas untuk membantu masyarakat.


Menurutnya, pengalaman itu membuktikan bahawa kesediaan dan integriti lebih penting daripada tempoh bertahun-tahun dalam politik.


Beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, terutamanya UPKO Bahagian Tuaran, atas kepercayaan dan bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh beliau mengetuai sayap pemuda dahulu.


"Politik bukan tentang menunggu giliran, tetapi tentang kesediaan untuk memikul amanah. Kalau bukan kita yang mula hari ini, siapa lagi?" soal beliau.


Beliau mengakhiri ucapannya dengan mesej perpaduan: "Yang muda berani memimpin, yang senior terus membimbing. Bersama kita kukuhkan UPKO demi rakyat."

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page