Pempengaruh Jual Kunafa Rugi Lebih RM100,000
- nabalunews
- May 31, 2025
- 1 min read

31 Mei 2025
KOTA KINABALU: Pempengaruh yang juga peniaga kunafa mendakwa kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya seorang wanita yang membeli produk makanannya menggunakan resit pembelian palsu.
Sebaik menyedari dirinya tertipu, mangsa tampil membuat laporan polis selepas mengesan beberapa transaksi mencurigakan berkaitan pembelian kunafa di sebuah tapak festival di daerah ini, Khamis lalu.
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, seorang wanita berusia 33 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Iyda Ismail berkata, pengadu dimaklumkan oleh kakitangannya terdapat beberapa transaksi mencurigakan daripada suspek.
"Pengadu kemudiannya membuat semakan resit untuk pembelian kunafa di gerainya dan mendapati ia adalah palsu.
"Hasil semakan lanjut, pengadu juga mendapati keseluruhan resit yang pernah digunakan untuk urusan itu melibatkan hampir 200 resit yang dipalsukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Iyda berkata, susulan pendedahan itu, pengadu membuat laporan polis dan suspek berjaya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan awal, suspek mengaku membuat resit palsu menggunakan telefon bimbit miliknya untuk membuat pembayaran pembelian makanan berkenaan.
"Suspek memaklumkan telah membuat suntingan pada resit palsu itu sejak Ogos tahun lalu dan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM117,311," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan seorang pempengaruh yang membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu.
Individu terbabit mendakwa berlaku penipuan dalam urus niaga kunafa ketika menyertai satu festival makanan di negeri ini.















Comments