Pemuda Gagasan Rakyat ketengah calon berwibawa pada PRN-17
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengetengahkan calon berwibawa untuk bertanding pada pilihan raya negeri Ke-17 (PRN-17).
Ketua Pemuda Pusat Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan berkata, setakat ini pihaknya menamakan lima nama kepada kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN-17.
Katanya, beliau optimis pemimpin muda yang berwibawa dan memahami keperluan rakyat akan diberikan peluang dalam PRN17.
“Nama-nama calon yang dicadangkan itu terdiri daripada calon sedia ada serta muka baharu dan senarai itu akan diserahkan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan.
“Kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan, tetapi, bagi saya, mungkin perlu ada ruang kepada kami sebagai pemimpin muda untuk diberikan peluang bertanding dalam PRN17," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di sini semalam.
Sementara itu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan ketika ditanya turut menyatakan hasratnya untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.
"Saya bersedia untuk mempertahankan kerusi DUN Pintasan sekiranya masih diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan dan rakyat di kawasan berkenaan".
“Perkhidmatan saya sebagai ADUN Pintasan hampir habis dan bersyukur banyak isu di kawasan berkenaan sudah diselesaikan.
"Mudah-mudahan kita masih diberikan ruang untuk memberikan khidmat sekali lagi sekurang-kurangnya sepanggal lagi di DUN Pintasan," katanya.
Comments