top of page
Wartawan Nabalu News

Pemuda, GEM UPKO Kota Belud anjur pertandingan Tarik Tali, Sugandoi, 14 Mei ini



20 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud akan menganjurkan pertandingan Tarik Tali dan Sugandoi sempena Raya-Kaamatan, di Perkarangan Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian Dataran Skyblue Piasau, di sini, pada 14 Mei ini.


Ketuanya merangkap Pengerusi Penganjur, Jolyhame Saran berkata, program yang pertama kalinya diadakan selepas pandemik Covid-19 itu dianjurkan bersama Generasi Muda (GEM) UPKO Kota Belud.


Jolyhame Saran

"Selain pertandingan tarik tali terbuka Kota Belud dan Sugandoi, turut diadakan ialah pameran dan jualan ikan laga hiasan.


“Ini adalah pengisian sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dan Raya-Kaamatan UPKO Peringkat Kota Belud yang akan diadakan di Dewan Kadamaian Square pada 16 Mei ini. Program ini akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Program itu akan dirasmikan oleh Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.


Jolyhame berkata, setakat ini sebanyak lapan pasukan telah menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan Tarik Tali, antaranya Barakuda Pinampang (Penampang), Borodungal Ranau, Papar Cilipadi, Putatan B, Piasau Power (Kota Belud), Kudat Team, Thunderbeast Sipitang dan Putatan Geram Beat Team.


“Penyertaan dihadkan tidak melebihi 10 pasukan atas nasihat KKM dan masa terhad (hanya satu hari)," katanya.


Johan pertandingan tarik tali akan menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala dan medal, naib johan (RM1,200) berserta piala dan medal, tempat ketiga (RM800) dan keempat (RM400).


Manakala bagi pertandingan sugandoi pula, johan akan menerima hadiah wang tunai RM300, tempat kedua (RM200) dan ketiga (RM100). Kesemua pemenang masing-masing akan menerima piala.


Jolyhame berkata, pihak penganjur juga menyediakan hadiah saguhati berupa hamper kepada pemenang tempat keempat hingga ketujuh bagi pertandingan sugandoi.


“Pertandingan Sugandoi terbuka kepada semua penduduk KDM yang berasal dari Kota Belud berumur tidak kurang 17 tahun.


“Sugandoi akan diadakan bermula jam 2 petang, pada hari dan tempat yang sama manakala pertandingan tarik tali pula diadakan pada sebelah pagi,” katanya dan menambah penyertaan Sugandoi juga dihadkan tidak melebihi 15 peserta.


Johan sugandoi akan dijemput membuat persembahan semasa MAT UPKO Kota Belud dan Raya-Kaamatan pada 16 Mei, di Kadamaian Square.


Sugandoi akan diadili oleh pengadil bertauliah dari Kota Belud dan luar Kota Belud. Bagi mereka yang berminat menyertai pertandingan ini, sila hubungi Vince Jool. Manakala pameran dan jualan ikan Betta Kadamaian pula diketuai oleh Joel Deukin.


Maklumat lanjut mengenai pertandingan Tarik Tali hubungi Ketua Penyelaras Teknikal Pertandingan Joseley Samidah (0111-888 2568), Sugandoi dan pameran ikan laga hubungi Vince (013- 878 0099) dan Joel (016-509 9604).


تعليقات


bottom of page