PENDUDUK 15 KAMPUNG SUMBANG PENINGKATAN MENDADAK KES KLUSTER SINSINGON NABAWAN
- Wartawan Nabalu News
- Mar 1, 2021
- 1 min read

1 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Penduduk dari 15 buah kampung berdekatan Kampung Sinsingon Nabawan yang menghadiri upacara pengkebumian di kampung itu menyumbang peningkatan kes secara mendadak Kluster Sinsingon.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Sinsingon dikenalpasti telah merebak melalui perkumpulan orang ramai yang menghadiri upacara pengkebumian.
“Kegagalan untuk mengamalkan norma baharu dan menjaga penjarakan fizikal merupakan faktor utama dalam penularan jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, pihak berkuasa sentiasa memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan dengan pematuhan SOP Covid-19.
“Pemimpin tempatan atau ketua kampung seharusnya peka dengan arahan terbaru dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Kerjasama para pemimpin tempatan dan ketua kampung berkaitan perkara ini diharapkan dapat membantu kerajaan memastikan penduduk sentiasa patuh kepada SOP Covid-19 serta menimbulkan kesedaran masyarakat kampung tentang perlunya menjalani kehidupan dengan pengamalan budaya norma baharu dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata, antara syarat permohonan rentas daerah bagi menghadiri upacara pengkebumikan ialah, pemohon mempunyai hubungan kekeluargaan seperti Ibubapa, adik-beradik dan keluarga terdekat si mati tertakluk kepada kebenaran PDRM.















Comments