top of page
nabalunews

Penempatan haram di Kota Kinabalu digempur, 62 rumah setinggan dirobohkan

15 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran untuk merobohkan penempatan setinggan yang dibina secara haram di sekitar ibu negeri.


Sebanyak 62 rumah setinggan dirobohkan dalam operasi ini, yang bertujuan bukan sahaja untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan tersebut.


Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu, operasi ini akan diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk membanteras jenayah di kawasan ibu negeri.


“Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk memastikan masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI), gejala dadah serta masalah sosial khususnya di sekitar ibu negeri dapat dibanteras, sekaligus menjadikan kawasan tersebut bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” kata kenyataan itu.


Operasi yang diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Comments


bottom of page