Penghargaan Wira lapangan SESB komitmen tambah baik infrastruktur tenaga - Nizam
- nabalunews
- Sep 19
- 2 min read

18 Sept 2025
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) yang telah bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah selepas gangguan besar susulan kerosakan pada talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud.
Beliau berkata, usaha gigih petugas SE tanpa mengira penat lelah membolehkan bekalan dipulihkan sepenuhnya, sekali gus mengembalikan kelegaan kepada ratusan ribu pengguna yang terjejas.
"Kita sedar isu bekalan elektrik di Sabah bukanlah masalah baharu. Ia adalah isu legasi yang telah lama diwarisi dan memerlukan masa serta pelan menyeluruh untuk diselesaikan," katanya.
Justeru, katanya langkah-langkah jangka panjang yang sedang dilaksanakan melalui Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) amat penting.
Nizam berkata, antaranya projek tenaga bernilai RM260 juta yang sudah siap termasuklah Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu, Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang, PPU Ranau, PPU Batu Sapi, PMU Universiti Malaysia Sabah (UMS), sistem perlindungan dalam talian (Protection On-Line Monitoring) dan Sistem Pengukuhan 11kV Labuan.
"Semua projek ini dilaksanakan dengan tujuan memperkukuh infrastruktur tenaga serta menjamin kesejahteraan rakyat Sabah dan Labuan," katanya.
Dalam masa yang sama, Nizam berkata, beliau amat sedih menerima laporan mengenai seorang kakitangan SESB yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras di Apin-apin, Keningau, ketika bertugas.
"Saya berdoa agar usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan, dan keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Pengorbanan petugas barisan hadapan seperti ini adalah bukti nyata betapa besar harga yang dibayar demi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas yang kita anggap biasa setiap hari," katanya.
Nizam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Kerajaan Negeri melalui agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya akan terus berusaha memastikan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya ditambah baik secara berperingkat.
"Cabaran yang kita warisi ini tidak boleh diselesaikan dengan retorik, tetapi memerlukan kesungguhan, pelaburan, dan kerjasama erat antara negeri dan persekutuan.
Rakyat Sabah boleh yakin bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan keperluan asas ini diperkukuh.
Kejayaan memulihkan bekalan di Pantai Timur, walau dalam keadaan sukar, serta pelaksanaan projek tenaga baharu oleh PETRA dan PPKBES, membuktikan kita berada di landasan yang betul menuju sistem tenaga yang lebih stabil dan mampan," katanya, yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).


















Comments