Penglibatan OKU dalam persatuan dapat tingkatkan potensi diri: Faiz
30 Sept 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Penglibatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan dapat meningkatkan potensi diri golongan itu, kata Presiden Majlis Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia Faiz Shuhaimi.
Sehubungan itu Pengasas Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU) itu berharap pihak-pihak berkenaan dapat membantu golongan itu dari segi pengurusan persatuan.
Beliau berkata, ini kerana golongan OKU menghadapi cabaran mengurus persatuan termasuk kekurangan sumber mahir dalam pengurusan organisasi dan kekangan kewangan serta penjanaan pendapatan.
“Kepentingan dan kelebihan golongan OKU berpersatuan ialah mereka berupaya untuk meningkatkan kemampuan dan potensi kendiri, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan sosial golongan OKU, serta terlibat secara langsung dalam aspek libat urus bersama pelbagai organsiasi dan agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan Pertubuhan Dalam Membantu Golongan OKU Mendepani Pandemik Covid-19, anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Sabah, melalui platform Zoom, hari ini.
Faiz adalah seorang OKU Pendengaran dan menggunakan alat pendengaran dikedua-dua belah telinga sejak berusia 10 tahun, kini bertugas di beberapa organisasi bukan kerajaan yang memfokuskan kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU.
Beliau berkata, pengupayaan dan pemerkasaan OKU memerlukan golongan OKU dan masyarakat bergerak seiring.
“Antara cabaran yang dihadapi golongan OKU ialah kemiskinan dan kemampuan kewangan, akses dan peluang pendidikan, transisi pembelajaran, pekerjaan dan ekonomi kendiri dan pengangguran,” katanya.
Oleh itu katanya, MBOKU memainkan peranan untuk memperkasakan dan mengupayakan golongan OKU agar dapat menikmati kehidupan seperti masyarakat lain.
Mengenai MBOKU, ia adalah badan gabungan bersekutu Majlis Belia Malaysia, berdaftar secara rasmi dengan Pertubuhan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) pada 16 Julai 2021.
Antara fokus utama MBOKU ialah kepimpinan, kesukarelawan, kemahiran dan keusahawanan, pendidikan dan advokasi dan pengantarabangsaan.
MBOKU mempunyai cawangan di beberapa negeri iaitu Johor, Selangor, Kedah, Kelantan, Perak dan Wilayah Persekutuan.
Ia berperanan sebagai badan induk kebangsaan pertubuhan belia yang memfokuskan kepada belia OKU. Justeru, pelbagai jaringan kerjasama dilaksanakan bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Comentários