PENGUSAHA BAS EXPRESS SABAH DESAK KERAJAAN BENAR RENTAS DAERAH
- Wartawan Nabalu News
- Mar 3, 2021
- 1 min read

3 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Express Sabah (SEBOC) mendesak kerajaan negeri supaya membenarkan laluan rentas daerah bagi membolehkan perkhidmatan bas express beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Presidennya Datuk Donald Hanafi berkata, ini kerana pengusaha bas express di negeri ini mengalami banyak kerugian akibat perkhidmatan pengangkutan awam tidak dibenarkan rentas daerah.

“Majlis Pengusaha Bas Express Sabah bermesyuarat hari ini membuat keputusan mendesak kerajaan negeri membenarkan laluan rentas daerah bagi membolehkan perkhidmatan bas express beroperasi seperti biasa mengikut SOP.
“Ini kerana pengusaha Bas Express mendapati ramai pemilik kenderaan persendirian dapat rentas daerah dan yang terkini perkhidmatan kapal terbang juga sudah beroperasi,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Donald berkata, pemandu dan kakitangan yang terlibt juga tidak mampu lagi meneruskan hidup kerana tidak ada sumber pendapatan.
“Kerajaan negeri sepatutnya mengikuti langkah yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas daerah pada 5 Mac, mengapa tidak berlaku di Sabah?
“Sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil perhatian atau berbincang dengan pihak persatuan, maka tunjuk perasaan akan dibuat dihadapan Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk membuka mata pihak berkuasa,” katanya.
Dianggarkan lebih 100 bas mengikuti tunjuk perasaan bersama pemandu dan kakitangan yang terlibat.
Comments