Pengusaha Tamu Inobong hargai usaha Ewon menaiktaraf kemudahan tamu, bantu kebajikan pengusaha
30 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Para peniaga di Tamu Inobong, di sini menghargai usaha Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick atas penaiktarafan kemudahan di tamu itu.
Projek Tamu Desa adalah antara inisiatif Ewon selepas menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam usaha untuk membantu para penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar menyediakan kemudahan yang lebih selesa.
Sebelum ini, KUSKOP tidak pernah membina gerai-gerai atau tamu-tamu desa, hanya memberikan pembiayaan melalui agensi-agensi kementerian itu.
Ketika meninjau pelaksanaan Tamu Desa Inobong, Ewon berpuas hati kerana kerja-kerja menaiktaraf tamu itu siap dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, penaiktarafan itu melibatkan pembinaan konkrit sepenuhnya kawasan tamu, pembinaan ruang berniaga beratap di bahagian tengah dan pemasangan pagar keliling tamu, sekaligus memberi wajah baru kepada tamu komuniti itu.
“Projek pelaksanaan Tamu Desa ini dilaksanakan di bawah peruntukan KUSKOP,” katanya selepas meninjau kawasan Tamu Desa Inobong, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut meninjau keperluan baharu yang disampaikan oleh persatuan pengusaha tamu di sini iaitu pembinaan konkrit tempat letak kereta keliling tamu, pembinaan konkrit parit, pembaikan tandas dan pemasangan lampu solar agar tamu malam boleh diadakan.
“Dalam pertemuan hari ini, saya juga menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen kepada Persatuan Pengusaha Tamu Inobong untuk keperluan ahli-ahli mereka iaitu meja, kerusi, baju persatuan dan sebagainya.
“Saya gembira mendengar mereka menerima baik usaha Kerajaan melalui KUSKOP menaiktaraf kemudahan di sini. Mudah-mudahan di bawah Belanjawan 2025, lebih banyak lagi tamu-tamu komuniti seperti ini dapat dibantu,” katanya.
Sementara itu, para peniaga yang ditemui merakamkan penghargaan kepada KUSKOP atas penaiktarafan tamu itu dan keprihatinan menyampaikan sumbangan kepada peniaga yang terjejas banjir baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Tamu Inobong Augustina Jirikh berkata, penaiktarafan tamu tradisi itu memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung.
“Saya berharap dengan penaiktarafan kawasan Tamu Desa ini akan menarik lebih ramai pengunjung datang ke sini untuk memberi sokongan kepada kami. Begitu juga dengan para peniaga, saya berharap mereka dapat menjalankan perniagaan di sini dengan lebih selesa.
“Tamu Inobong adalah tamu pertama di Penampang sebelum Tamu Donggongon wujud. Kami juga berharap Tamu Desa Inobong ini menjadi pilihan para pengunjung pada masa akan datang,” katanya.
Augustina turut mengalu-alukan penduduk Penampang supaya berkunjung ke sini. Tamu ini beroperasi setiap hari dan tamu besar ditetapkan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.
Augustina yang juga Pengerusi Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana daerah Penampang turut, merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membeli meja dan baju seragam serta keperluan lain untuk ahli persatuan itu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Penampang Minah Bahang menyifatkan usaha kerajaan persekutuan melalui KUSKOP melaksanakan Projek Tamu Desa sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di kawasan luar bandar.
“Kami merasa amat bertuah kerana Tamu Inobong antara satu daripada banyak Tamu Desa di Sabah dan Sarawak yang mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek yang pertama di Sabah.
“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana meluluskan peruntukan untuk menaiktaraf tamu ini.
“Sebelum ini kawasan Tamu Inobong berlumpur terutamanya musim hujan tetapi sekarang dengan penaiktarafan tamu ini, tiada lagi lumpur walaupun hujan, semua peniaga dan pengunjung pun selesa,” katanya.
Minah berharap penduduk Inobong dan sekitarnya datang berkunjung untuk berniaga atau membeli hasil pertanian yang dijual oleh para peniaga sebagai sokongan kepada mereka.
“Tamu ‘lagend’ ini sudah lama beroperasi sebelum Tamu Donggongon dibuka, tetapi semakin ‘dilupakan’. Oleh itu persatuan kami berpendapat, Tamu Inobong perlu ‘dihidupkan’ semula untuk memberi lebih banyak peluang dan ruang kepada para peniaga kecil-kecilan berniaga.
“Saya berharap dengan penaiktarafan Tamu Inobong akan ‘menghidupkan’ semula tamu ‘lagend’ ini,” katanya.
Peniaga Tamu Inobong, Cornelia Joannes dan Mariannah Rumbang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan terutamanya KUSKOP dan Datuk Ewon atas penaiktarafan kawasan tamu itu.
“Sejak tamu ini beroperasi lebih 60 tahun lalu, keadaan di sini amat berbeza dengan keadaan sekarang. Dulu tiada apa-apa, hanya atap zink dan kami duduk di lantai untuk berniaga.
“Tamu Besar pun di sini pada masa dahulu tetapi selepas banyak tamu di kampung-kampung lain dibuka dan Tamu Donggongon mula beroperasi, maka pengunjung di sini semakin berkurangan,” kata Cornelia.
Bagaimanapun katanya, selepas Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Penampang mengambil alih pengurusan Tamu Inobong, kawasan itu semakin ‘hidup’.
“Walaupun pengunjung kurang tetapi kami datang juga setiap hari untuk berniaga di sini, dengan harapan Tamu Inobong akan kembali meriah seperti dahulu dan menjadi tumpuan pengunjung.
“Tamu Inobong pada hari ini semakin ceria, kawasan ini telah dinaiktaraf dan saya berharap Tamu ini kembali meriah seperti dahulu,” katanya.
Rakannya Mariannah yang turut berniaga di tamu itu berkata, beliau mula berniaga di sini sejak tiga tahun lalu.
“Dulu berlumpur tetapi sekarang semua kawasan tamu telah disimen dan amat selesa. Terima kasih banyak-banyak kepada Datuk Ewon atas usaha menaiktaraf tamu ini,” katanya.
Comentários