top of page

Penduduk Tambulion Ulu nantikan Resolusi Isu Tanah Blok Padang

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


13 Mac 2026


KOTA BELUD: Setelah lebih 15 tahun menanti penyelesaian, penduduk Kampung Tambulion Ulu kini melihat sinar baharu dalam isu status lot-lot tanah di kawasan Blok Padang susulan lawatan tapak oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Kota Belud baru-baru ini.


Lawatan yang diketuai oleh Azmie Amran dari JTU itu disambut puluhan penduduk, ahli Jawatankuasa Bertindak Blok Padang, serta pemimpin setempat termasuk Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau dan Pengerusi JKKK Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran.


Pemeriksaan di lapangan itu bertujuan menilai keadaan sebenar kawasan tuntutan serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada penduduk mengenai sejarah penggunaan tanah yang telah diusahakan sejak sekian lama.

Isu lot-lot tanah di Blok Padang mula dibangkitkan penduduk sejak tahun 2008. Pelbagai usaha termasuk perbincangan, permohonan dan sesi libat urus telah dijalankan, namun penyelesaian muktamad masih belum dicapai sehingga kini.


Menurut wakil Jawatankuasa Bertindak, Boi Osmund Loison, tanah di kawasan tersebut bukan sahaja bernilai ekonomi, malah menjadi sumber kehidupan serta harapan masa depan bagi ramai keluarga.


"Kami sudah lama memperjuangkan kawasan ini untuk dibangunkan sebagai tapak perumahan. Kami berharap perhatian sewajarnya diberikan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak JKKK Tambulion Ulu yang baharu akan mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) dalam masa terdekat bersama Ketua Kampung serta Jawatankuasa Bertindak Blok Padang. Sesi itu bertujuan menyelaraskan kefahaman semua pihak terhadap sejarah tuntutan serta merangka pendekatan lebih tersusun dalam memperjuangkan penyelesaian isu tersebut.


Masyarakat kampung turut berharap agar perkara ini mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian bagi memastikan usaha penduduk dapat disokong di peringkat kepimpinan negeri.


Penduduk menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan demi memastikan penyelesaian yang adil dapat dicapai, sekali gus menjamin masa depan generasi kampung yang bergantung kepada tanah tersebut sebagai sumber kehidupan dan pembangunan komuniti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page