top of page

Penyatuan Rakyat Sabah Mesti Bermula dari Akar Umbi - Rogers

nabalunews
5 hours ago
2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


RANAU, 20 Sept – Ketua UPKO Bahagian Ranau, Rogers Tiam, mengadakan Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal bersama kepimpinan serta masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Randagong dan PDM Komburongoh, di sini semalam, bagi memperkukuh hubungan akar umbi dan menyampaikan perkembangan semasa parti.


Sesi tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim, mendengar pandangan, keperluan serta permasalahan rakyat di peringkat PDM, selain memberi taklimat mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah.



Rogers menegaskan, penyertaan UPKO yang kini bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh kesatuan dan kerjasama politik di peringkat akar umbi demi kepentingan rakyat Sabah.


“Kita perlu melihat penyatuan parti-parti Sabah sebagai satu kekuatan. Perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita bekerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.



Menurutnya, pengukuhan gabungan di peringkat Ranau perlu bermula daripada akar umbi, khususnya melalui hubungan baik antara kepimpinan PDM, masyarakat dan parti-parti yang mempunyai aspirasi terhadap pembangunan Sabah.


Beliau turut menegaskan bahawa UPKO Bahagian Ranau akan terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat, terutama dalam menyampaikan maklumat mengenai peluang, program dan inisiatif kerajaan.


Antara bidang yang diberi perhatian ialah pembangunan usahawan mikro, pengukuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), latihan keusahawanan, pemasaran produk serta pendigitalan perniagaan.


Kementerian Perindustrian,

Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah yang diterajui Timbalan Ketua Menteri III merangkap Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, memberi fokus kepada peningkatan keupayaan industri mikro, kecil dan sederhana serta daya saing usahawan tempatan.


Rogers berkata, peluang dan inisiatif kerajaan perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat luar bandar.


“Peranan kita adalah menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat. Apa-apa inisiatif yang sesuai, kita akan cuba bawa terus kepada akar umbi supaya masyarakat mendapat maklumat dan boleh mengambil peluang yang tersedia,” katanya.


Beliau berharap pertemuan seumpama itu diteruskan secara berkala di seluruh PDM dalam Bahagian Ranau bagi memperkukuh hubungan kepimpinan dengan masyarakat serta membina kerjasama lebih erat antara parti-parti Sabah.


“Kita mahu politik yang mendekatkan rakyat, memperkukuhkan kerjasama dan membawa pembangunan. Penyatuan rakyat Sabah mesti bermula dari akar umbi,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page