Tambatuon Double Dart Challenge tarik penyertaan luar daerah

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 20 Sept – Kejohanan Tambatuon Dart Club Double Dart Challenge sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar Kota Belud, termasuk peserta termuda berusia 12 tahun, di Dewan Kampung Tambatuon, semalam.
Kejohanan anjuran Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud dengan kerjasama Tambatuon Dart Club (TDC) itu menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM3,000.

Perasmian kejohanan disempurnakan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada GEM atas penganjuran yang berjaya serta mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta.

“Sukan mampu merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pertandingan dart mampu merapatkan jurang sosial antara kanak-kanak, belia mahupun veteran dalam satu pertandingan terbuka.
Ketua GEM Kota Belud merangkap Pengerusi Penganjur, Vod Zanik Sidin, menjelaskan kejohanan tersebut diadakan sebagai pengisian sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi peminat sukan dart.
Penyertaan turut diterima daripada peserta luar daerah seperti Bundu Tuhan, Ranau, Kudat, Tuaran dan Penampang, selain kelab-kelab dart di Kota Belud.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat. Menurutnya, GEM Kota Belud akan meneruskan program seumpama itu pada masa hadapan dan turut memberi perhatian kepada penganjuran sukan lain.















Comments