Penukaran kupon letak kereta lama MPS kepada kupon baharu bermula 1 Oktober
- nabalunews
- Oct 1, 2024
- 2 min read

1 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Proses penukaran kupon letak kereta lama Majlis Perbandaran Sandakan kepada kupon baharu akan dilaksanakan bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Frankie Poon Ming Fung berkata, menurut makluman daripada pihak MPS, penukaran kupon itu hanya boleh dilakukan di Pejabat Jabatan Pengangkutan Awam dan Letak Kereta, Wisma Perbandaran Sandakan, dari 1 Oktober hingga 14 Oktober ini.
Katanya, kupon letak kereta lama tidak lagi akan diterima selepas tempoh penggantian ini, dan orang awam dinasihatkan untuk menukarkan kupon lama kepada kupon baharu secepat mungkin di Pejabat Jabatan Pengangkutan Awam dan Letak Kereta, Majlis Perbandaran Sandakan.
Sebagai contoh, kupon lama bernilai RM0.25 satu jam bagi petak kuning kini perlu diganti dengan kupon baharu yang bernilai RM0.45 bagi satu jam di petak yang sama.
"Sehubungan itu, pengguna diminta mengambil perhatian bahawa nilai kupon penggantian akan disesuaikan secara relatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Frankie berkata, pengguna tidak perlu risau jika kupon lama mereka tidak berada dalam satu buku penuh kerana kupon yang sudah digunakan sebahagiannya juga diterima.
Semua kupon lama perlu dibawa semasa proses pertukaran itu.
Manakala selepas 14 Oktober 2024, kupon letak kereta lama tidak lagi akan diterima.
Justeru, pengguna dinasihatkan untuk menukarkan kupon tersebut dengan segera.
Bagi memastikan kelancaran proses penggantian kupon ini, beliau juga menggalakkan orang ramai untuk menghubungi pihak MPS untuk sebarang pertanyaan di talian 089-272149 (sambungan 712 dan 713).
Beliau menyeru semua pengguna tempat letak kereta di Sandakan untuk memanfaatkan tempoh ini dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.
Dalam pada itu, MPS dalam satu kenyataan menyatakan akan melaksanakan penggunaan semula kupon letak kereta di kawasan parkir yang diwartakan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024.
Pengguna juga perlu mempamerkan kupon letak kereta ketika parkir dikawasan yang telah diwartakan.
Jika gagal berbuat demikian, pihak majlis akan mengambil tindakan kompaun atas kesalahan tersebut di bawah Undang-Undang Kecil (Penyediaan Tempat Letak Kereta Awam) 2023, Undang-Undang Kecil 14 (1).
Comentários