top of page

Penyelenggaraan parit 170.5KM perlu ditambah baik atasi masalah banjir – Jeffrey Kitingan

nabalunews

5 Februari 2025


KOTA KINABALU: Kos RM40 juta setahun untuk penyelenggaraan parit sepanjang 170.5 kilometer di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan masih tidak mencukupi untuk memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Jeffrey Kitingan.


Beliau menjelaskan bahawa penyelenggaraan yang dilakukan tiga kali setahun perlu ditingkatkan memandangkan pesatnya pembangunan dan perubahan iklim yang memberi kesan kepada sistem saliran.


"Selain itu, projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya banjir terutama di daerah Penampang dan Putatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang menelan kos RM297.96 juta sedang dijalankan di kawasan Pekan Donggongon dan Putatan bagi mengatasi masalah banjir.


Namun, beliau memaklumkan bahawa cadangan projek untuk kawasan tengah Sungai Moyog di Penampang dan Sungai Petagas di Putatan masih belum mendapat kelulusan.


"Kita memerlukan lebih banyak pembiayaan jika mahu meningkatkan kekerapan pembersihan sistem perparitan dan sudah tentu kita perlukan bajet tambahan untuk itu," tambahnya.


Beliau turut menekankan bahawa penyelesaian masalah banjir memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk dalam perancangan sistem saliran dan pembangunan di kawasan Moyog dan Putatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page