Penyukatan PANTAS Jadi Pemangkin Pengiktirafan Tanah Adat Blok Padang
- nabalunews
- Apr 7
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
7 April 2026
KOTA BELUD: Kerajaan daerah melalui Pejabat Jurukur Daerah Kota Belud memperkenalkan pendekatan Penyukatan PANTAS bagi mempercepatkan proses tuntutan tanah adat secara sah dan tersusun di Blok Padang, Tambulion Ulu.
Dalam sesi libat urus (SLU) bersama komuniti setempat pagi tadi, Penolong Jurukur Daerah Kota Belud, Nibot Kandai, memberi taklimat bahawa pendekatan ini mampu membantu penduduk mengenal pasti sempadan tanah dengan lebih jelas serta memudahkan dokumentasi untuk permohonan hak milik.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini bergantung sepenuhnya kepada kerjasama komuniti, terutamanya dalam memastikan setiap maklumat yang dikemukakan adalah tepat dan disokong oleh bukti yang kukuh.

Sesi yang berlangsung di Tambulion Ulu itu dianjurkan oleh Jawatankuasa (JK) Bertindak Blok Padang. Turut hadir ialah mantan Ketua Anak Negeri (KAN), Sabanting Aban, Wakil KAN, Michael Tinggiu, Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau, Ketua Kampung Sorob, Sulidan Satang, serta Ketua Kampung Tambulion Laut, Robertson @ Neklos Jiran.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Boniface @ Doni Jiran, dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Blok Padang, Boy Osmund, bersama ahli jawatankuasa lain turut hadir, menunjukkan komitmen padu dalam menjayakan agenda tersebut.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang aktif, menunjukkan kesungguhan komuniti untuk memahami dan menyokong pelaksanaan Penyukatan PANTAS di kawasan mereka. Usaha ini diharap dapat menjamin hak dan kepentingan tanah adat penduduk untuk generasi akan datang.















Comments