- nabalunews
Perdana Menteri nafi adanya rombakan kabinet
12 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan laporan sebuah portal berita berhubung rombakan kabinet yang didakwa akan dilakukan dalam masa terdekat.
Anwar sebaliknya secara berseloroh berkata, beliau baru mengetahui perkara itu pagi tadi.
“Baru saya diberitahu siapa yang nak tolong reshuffle ( rombakan). Siapa yang tolong reshuffle serius saya tak dengar, ” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Mengulas mengenai dakwaan salah seorang Menteri Besar yang akan dilantik menganggotai kabinet, Anwar berkata ia mungkin boleh berlaku selepas pilihan raya.
“Boleh jadi dalam lepas pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian Sidang Kemuncak Pengkormersialan Malaysia di ibu negara pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang.
Terdahulu, sebuah portal dwi bahasa tempatan melaporkan kerajaan akan melaksanakan satu lagi rombakan Kabinet selepas setahun rombakan pertama dilakukan tahun lalu.
Perdana Menteri juga sempat bertanya kepada pemberita berhubung dakwaan itu dan sumber yang memaklumkan perkara tersebut.
“Kalau (sumber) tidak dinamakan, jangan percaya dong,” seloroh beliau sebelum meninggalkan majlis.
Kali pertama rombakan Kabinet di bawah pentadbiran Anwar adalah pada Disember tahun lalu dan membabitkan beberapa portfolio.
Dalam rombakan itu, V. Sivakumar dari DAP digugurkan daripada jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia dan digantikan oleh Steven Sim manakala Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kembali sebagai Menteri Kesihatan.
Turut berada dalam Kabinet adalah Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sementara beberapa menteri lain bertukar portfolio.
Comentários