Perkenalkan Program Supplement Kesihatan kepada rakyat - Ewon
- Wartawan Nabalu News
- Sep 22, 2021
- 1 min read

22 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperkenalkan program supplement kesihatan seperti Vitamin C dan makanan kesihatan lain kepada rakyat Sabah bagi meningkatkan antibodi badan.
Menurut beliau, pemberian supplement kesihatan tersebut penting selain daripada pemberian vaksin Covid-19.
"Saya mencadangkan agar belanjawan tambahan disediakan untuk program ini dan berikan supplement Vitamin C ini secara percuma kepada rakyat Sabah, khususnya kanak-kanak, murid sekolah, warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.
"Menteri Kesihatan telahpun menyatakan kita bakal memasuki fasa endemik Covid-19. Justeru program meningkatkan antibodi rakyat sangat penting. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada vaksinasi semata-mata," katanya.
Ewon berpendapat, daripada Kerajaan mahu berbelanja lebih besar untuk program dos booster vaksin, lebih baik perbelanjaan tersebut digunakan untuk memberikan supplement kesihatan kepada rakyat.
"Selain itu, supplement kesihatan ini juga boleh dimasukkan dalam pakej bantuan bakul makanan kepada keluarga bergejala yang dikuarantin," katanya lagi.
Ewon menyatakan demikian dalam ucapan perbahasan beliau di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang berlangsung hari ini.
Comments