top of page
nabalunews

Perkhidmatan Feri Labuan-Kota Kinabalu disambung semula 15 Disember

9 Disember 2024


LABUAN : Selepas hampir tiga tahun dihentikan susulan pandemik COVID-19, perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu akan beroperasi semula pada 15 Disember ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata ia merupakan peristiwa penting dalam langkah meningkatkan sistem perhubungan di pulau bebas cukai itu.


Sebelum ini, perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu sangat popular namun operasinya terpaksa dihentikan kerana kurang mendapat sambutan ketika penularan COVID-19.


Beliau berkata pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres itu dijangka mengeratkan hubungan antara Labuan dengan tanah besar Sabah bagi menangani masalah kesalinghubungan yang telah lama wujud.


“Kami tidak akan mengabaikan keperluan Labuan untuk meningkatkan sistem perhubungan... usaha ini penting bukan sahaja untuk komuniti setempat tetapi juga bagi meningkatkan bilangan pelawat,” katanya semasa temu bual eksklusif dengan Bernama sempena setahun memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.


Dr Zaliha berkata perkhidmatan itu berpotensi merancakkan semula sektor pelancongan sekali gus menggalakkan agensi industri itu menawarkan pakej merangkumi Sabah dan Labuan.


“Sistem perhubungan yang dipertingkat dijangka menarik lebih ramai pelawat dan merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah ini,” katanya.


Beliau berkata sebagai tambahan kepada penyambungan semula perkhidmatan itu, kerajaan merancang meluaskan diskaun 50 peratus perjalanan yang kini tersedia untuk penumpang dan terminal feri roll-on roll-off (RoRo) kepada mereka yang menggunakan feri ekspres.


“Kami tidak nampak sebarang isu dalam pemberian subsidi yang sama dengan diskaun 50 peratus kepada pengguna feri ekspres," katanya sambil menekankan komitmen untuk meringankan kos perjalanan penumpang.


Dr Zaliha juga berkata penyambungan perkhidmatan itu selaras dengan strategi kerajaan yang lebih luas untuk menyokong industri tempatan dan komuniti yang menggunakan laluan Labuan-Kota Kinabalu-Labuan.


“Dengan menangani jurang kesalinghubungan dan mempromosi pelancongan serantau, inisiatif itu dijangka membuka jalan kepada aliran ekonomi untuk Labuan dan kawasan sekitar," katanya.

Comentarios


bottom of page