Perkhidmatan mobile refleksologi pusat pelancongan Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perkhidmatan mobile refleksologi pusat pelancongan Kadamaian


Dari Kiri: Domidah, Beverley, Caroline dan Baini.

27 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Perkhidmatan mobile refleksologi dari rumah ke rumah atau di pusat-pusat eko pelancongan komuniti satu peluang perniagaan yang amat sesuai diceburi wanita di Kadamaian terutamanya yang tidak mempunyai premis perniagaan.


Menyedari permintaan tinggi dalam perkhidmatan mobile refleksologi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan katil urut mudah alih kepada peserta yang berjaya menamatkan Kursus Asas Urutan Badan Tradisional pada Febuari 2020.


Ewon bergambar bersama 15 penerima sumbangan katil urut mudah alih, di Pusat Khidmat Adun Kadamaian.

Sumbangan itu disampaikan kepada 15 penerima dalam majlis ringkas di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, kelmarin.


Seorang penerima sumbangan, Domidah Lumboting, 49, dari Kampung Sayap berterima kasih kepada Adun Kadamaian atas keprihatinan terhadap keperluan wanita memulakan perniagaan.


Domidah

“Saya belum ada kedai tetapi dengan adanya katil urut mudah alih yang boleh dilipat, ringan dan senang dibawa ke mana-mana akan memudahkan saya menjalankan perkhidmatan mobile refleksologi di kampung khususnya di kawasan pelancongan.


“Kampung Sayap mempunyai banyak pusat pelancongan termasuk tempat hiking menarik dan saya jangkakan apabila sempadan negara dibuka untuk pelancong ramai pengunjung datang sini.


“Sebelum ini selepas mereka turun dari bukit, ada yang sakit kaki dan memerlukan khidmat urutan tetapi tiada tempat yang selesa, maka dengan adanya kemudahan katil urut mudah alih ini akan memberikan keselesaan kepada para pelanggan,” katanya ketika ditemui Nabalu News, kelmarin.


Ibu tunggal yang mempunyai bakat semulajadi atau talenta dalam bidang ini berkata, sebelum mengikuti kursus refleksologi di Pejabat Adun Kadamaian pada tahun 2020 anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), dia sering menerima panggilan daripada pelanggan yang memerlukan khidmat urutan tradisional.


“Kursus satu minggu memang tidak mencukupi sebab ia hanya asas urutan badan tradisional. Tapi bagi mereka yang memang ada pengalaman dan talenta dalam urutan badan, ia dapat menambah sedikit pengetahuan kami,” kata ibu kepada enam orang anak itu.


Sehubungan itu Domidah berharap kursus lanjutan urutan badan tradisional dapat dianjurkan selepas ini bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang urutan tradisional.


“Kursus-kursus seumpama ini amat sesuai dianjurkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai peserta wanita menyertainya pada masa akan datang.


“Memang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus urutan badan tradisional di kawasan Kadamaian tetapi tidak mampu menghadiri kursus yang diadakan di kawasan bandar sebab kos agak tinggi,” katanya.


Sementara itu, Beverley Natalie Koh, 39, dari Taginambur berharap lebih banyak program berkaitan spa dan refleksologi yang lebih menyeluruh dianjurkan di Kadamaian pada masa akan datang.


Beverley Natalie Koh

“Saya pasti ramai wanita di kawasan Kadamaian berminat mengikuti kursus ini kerana khidmat spa dan refleksologi boleh dikendalikan secara mobile dari rumah ke rumah mengikut tempahan pelanggan,” katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan itu. “Dengan adanya kemudahan ini, saya boleh memulakan Mobile Refleksologi di kawasan Taginambur kerana banyak homestay dan eko pelancongan di sini”.


Pengusaha J.Aaisyah Beauty Saloon Caroline Carol Doruan, 47, berkata walaupun mempunyai talenta dalam urutan badan tradisional namun dia menagmbil peluang mengikuti kursus asas anjuran JPSM dua tahun lalu untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan memperolehi sijil.


“Pelbagai perkhidmatan saya sediakan di salun saya berkaitan kecantikan dan refleksologi selain perkhidmatan untuk pengantin.


Caroline Carol

“Dengan adanya katil urut portable ini saya boleh menjalankan mobile refleksologi, kecantikan dan rawatan muka dari rumah ke rumah, lebih senang kami bergerak untuk mencari pelanggan di tempat lain bukan sahaja di kampung sendiri,” katanya.


Caroline turut memuji usaha Adun Kadamaian yang benar-benar berjiwa rakyat dan memahami keperluan semua lapisan masyarakat termasuk kaum ibu di kawasan ini.


Rakannya Baini Mini Lakin, 43, dari Melangkap yang sebelum ini menjalankan perkhidmatan refleksologi di beberapa tempat di Kota Kinabalu berkata, mobile refleksologi amat berpotensi untuk diceburi usahawan wanita di Kadamaian.


Baini Mini Lakin

“Ini kerana, Kadamaian mempunyai banyak pusat eko pelancongan dan inap desa yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.


“Bagi yang mengusahakan pusat pelancongan, mobile refleksologi juga dapat menambah sumber pendapatan mereka,” katanya.


Baini berkata, walaupun ada pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang refleksologi namun dia tidak dapat menjalankan perniagaan dalam bidang itu kerana sukar mencari tempat yang sesuai.


“Saya berterima kasih kepada Datuk Ewon kerana memberikan sumbangan katil urut mudah alih untuk memudahkan kami memulakan perniagaan dalam perkhidmatan refleksologi.


“Saya juga berharap beliau terus memberikan sokongan kepada wanita dan belia yang berminat dalam bidang ini dengan menganjurkan lebih banyak kursus dan pendedahan teknik urutan moden dan tradisional selepas ini,” katanya.



bottom of page