top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perpaduan melalui konsep MADANI, titik tumpu pembinaan masyarakat holistik


11 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, menyeru setiap keluarga tanpa mengira etnik, agama, dan budaya untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang holistik melalui konsep Malaysia MADANI.


Beliau, yang juga merupakan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), menekankan bahawa rakyat perlu memahami dan menghayati konsep ini yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersifat universal dan merentasi sempadan agama serta bangsa.


Tun Juhar menyatakan bahawa Malaysia MADANI patut dijadikan prinsip utama dalam agenda pembangunan masyarakat dan pembinaan negara.


"Tunjang kepada masyarakat MADANI adalah perpaduan melalui integrasi sosial yang didasarkan pada suatu ikutan hidup, dan menghindarkan diri dari konflik yang mampu menyebabkan perpecahan," ujar beliau.


"Realitinya, konsep 'Keluarga MADANI' amat dekat dengan suasana kehidupan kita di Sabah." Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Konvokesyen UMS ke-25 di Dewan Canselor UMS.


Menurut Tun Juhar, walaupun Sabah mempunyai lebih dari 32 etnik, nilai kekeluargaan majmuk, harmoni, keterbukaan, dan kebersamaan telah menjadi sebati dengan masyarakat di negeri tersebut, menjadikan Sabah sebagai contoh negeri yang mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.


Dalam pada itu, beliau juga mengajak semua pihak untuk berganding bahu dengan semangat keluarga MADANI dalam menghindarkan konflik dan mengekalkan perpaduan, kestabilan, keamanan, dan keharmonian yang telah dikecapi sejak turun temurun.


"Semangat ini jugalah yang perlu kita bawa untuk mewujudkan kesatuan dan kebersamaan seluruh rakyat jelata," kata Tun Juhar, seraya berharap kemakmuran dan kesejahteraan di Malaysia dapat dikekalkan selamanya.


Di samping itu, Tun Juhar menyatakan keyakinannya bahawa graduan yang bakal menerima skrol masing-masing akan menjadi modal insan yang bijak dan bertanggungjawab untuk kemajuan diri, agama, bangsa, dan negara.


Beliau juga mengingatkan para graduan untuk mengamalkan etika kerja yang baik, seperti rajin dan menepati masa, kerana keberadaan graduan dalam masyarakat merupakan kekuatan yang akan membawa kemajuan bagi bangsa dan negara.

Comments


bottom of page