top of page

Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Mukim Lasau Meriah di Kota Belud

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

24 Oktober 2025


KOTA BELUD: Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Mukim Lasau telah berlangsung dengan jayanya di Padang Kampung Lasau Lama, Kota Belud pada 20 Oktober lalu. Program ini dianjurkan oleh Kelab Belia Mukim Lasau dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Carlye Lajimin, yang hadir mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick.


Menurut Pengerusi Penganjur Bahagian Bola Sepak, Clarence Somuil, sebanyak 20 pasukan telah menyertai pertandingan tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa perlawanan akhir akan diadakan bersempena dengan lawatan rasmi Ewon, yang juga Presiden UPKO Malaysia, pada masa yang akan datang.


Dalam ucapan perasmian, Carlye mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program yang memberi impak positif kepada komuniti setempat. Beliau menegaskan bahawa aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan, malah menjadi medium untuk menyemai nilai perpaduan dan keharmonian masyarakat.

ree

“Walaupun negara sedang berada dalam musim Pilihan Raya Negeri ke-17, saya amat menghargai komitmen semua pihak yang mengetepikan perbezaan politik demi menjayakan acara sukan ini,” ujar beliau.


Dalam masa yang sama, Carlye turut menyampaikan hadiah pemenang bagi pertandingan bola tampar campuran, Pasukan Lasau B telah dinobatkan sebagai juara, diikuti Pasukan Lompios A di tempat kedua, Pasukan Lompios B di tempat ketiga, dan Pasukan Lasau C di tempat keempat. Dalam kategori sepak takraw, Pasukan Podi A muncul sebagai juara, manakala Pasukan Minunsud di tempat kedua, Pasukan Tekulung di tempat ketiga dan Pasukan Wani di tempat keempat yang telah diadakan pada 18 Oktober lalu.


Clarence, turut menyampaikan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan dan sokongan beliau terhadap penganjuran Karnival Sukan Mukim Lasau, yang bertujuan memperkukuh perpaduan masyarakat dan memperkasakan penglibatan belia dalam aktiviti sihat.

ree

Turut hadir mengiringi Carlye ialah Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, bersama barisan pemimpin kampung serta ketua-ketua belia dan beliawanis Mukim Lasau. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan komuniti dan memupuk semangat kesukanan di peringkat akar umbi.


Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah turut berperanan sebagai platform membina jalinan erat antara masyarakat pelbagai lapisan serta memperkukuh aspirasi kesepaduan di daerah Kota Belud.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page