top of page
nabalunews

Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah cawangan Sandakan lancarkan rayuan untuk derma dan dana kewangan

Chong (duduk kanan) bersama Ibrahim (kedua kanan, belakang) dan jawatankuasa yang lain semasa pelancaran rayuan itu.

15 Oktober 2024


SANDAKAN: Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah Cawangan Sandakan hari ini melancarkan rayuan surat pos untuk derma dan dana kewangan bagi membantu membiayai operasi Pusat Latihan Orang Buta yang terletak di Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Sungai Manila, Batu 12, di sini.


Menerusi satu kenyataan sejurus melancarkan rayuan itu pada Selasa di pusat itu, Pengerusi Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah Cawangan Sandakan, Chong Yee Fah, berkata, dengan fasa endemik Covid-19 ketika ini yang masih berlangsung, pertubuhan itu memutuskan untuk melancarkan rayuan untuk derma awam dan bantuan kewangan menerusi surat pos dalam membantu pelatih dan pusat latihan itu, aktiviti pelatih dan juga keluarga orang kelainan upaya penglibatan yang tinggal dekat taman berkenaan.


Manakala ketika pandemik Covid-19 yang lalu, pusat latihan itu juga terjejas dan berhadapan kesulitan untuk bertahan dari segi dana untuk kegunaan pelatih di pusat latihan berkenaan.


Katanya, pusat latihan itu terus memberikan pengajaran dan pembelajaran, latihan serta operasi rehabilitasi untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan di Sabah hingga kini dan melatih 25 hingga 30 pelatih buta dalam satu masa latihan setiap tahun.


Mereka yang datang ke sini berasal dari beberapa kawasan terpencil di Sabah.


Pusat latihan itu menyediakan latihan selama 12 bulan kepada pelatih antaranya kraftangan, urutan refleksologi

kaki dan badan, pembelajaran asas komputer, tulisan Braille, pertanian, tanaman bunga, aktiviti sukan dan riadah, komunikasi awam dan program mandiri yang lain.


Kesemua kos bagi latihan itu diberikan secara percuma kepada pelatih termasuk pemberian wang poket untuk mereka sepanjang belajar di pusat latihan tersebut.


Jelasnya, pertubuhan itu turut menyediakan rumah untuk 12 orang buta dan keluarga mereka di bangunan yang terletak berhampiran taman itu.


Kesemua operasi latihan di pusat itu termasuk pengambilan pelatih dan kos penyelenggaraan infrastruktur yang dijalankan oleh kakitangan dengan bantuan sukarelawan memerlukan perbelanjaan operasi kira-kira RM300,000 setahun.


Tambahnya, pusat latihan itu juga menerima bantuan RM80,000 daripada Majlis Perkhidmatan Sosial Sabah dan selebihnya sumbangan orang ramai yang prihatin.


"Bagi pihak pertubuhan ini, kakitangan dan pelatih Taman Cahaya, saya merakam ucapan terima kasih kepada semua penyokong dan penderma yang budiman yang sentiasa membantu serta menyumbang kepada pusat latihan ini khasnya semasa pandemik Covid-19 sekaligus membantu meneruskan usaha pusat latihan ini membantu mereka yang memerlukan perhatian sewajarnya," ujarnya.


Turut hadir dalam pelancaran itu, Pengurus Taman Cahaya, Ibrahim Andul Hamid serta ahli jawatankuasa yang lain.

Comments


bottom of page