top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pesta Kaamatan: Platform perpaduan, keharmonian rakyat Sabah


2 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus bukan sahaja menzahirkan rasa syukur atas hasil tuaian, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum, agama dan budaya di negeri ini.


Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan kerana percaya bahawa program-program tersebut dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.


“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini,” katanya.


Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, sempena Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Isnin.


Beliau juga menyeru rakyat untuk terus bersama kerajaan dalam mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi demi kelancaran pembangunan di negeri ini.


“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya.


Sementara itu, Dr. Jeffrey yang mewakili Ketua Menteri turut melakukan upacara menuai padi sebagai simbolik pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri.


Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick; Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk George Ginibun; Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, Datuk Hajiji Haji Noor; Ahli Dewan Undangan Negeri Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

bottom of page