top of page

Pindaan Perlembagaan had tempoh jawatan PM tidak jejas kuasa prerogatif Agong

  • nabalunews
  • Mar 2
  • 2 min read

2 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal tidak akan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pindaan itu juga tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan terhadap kerajaan.


Sebaliknya, menurut beliau, ia akan memperkukuh struktur Perlembagaan Persekutuan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.


"Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Perdana Menteri bergantung pada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.


“Namun, Perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan tersebut, walaupun jawatan ini memegang peranan yang amat besar dalam pentadbiran negara,” katanya.


Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.


Anwar berkata, pembentangan rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.


Ujarnya, cadangan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi wacana reformasi yang panjang.


“Kerajaan mengambil langkah menterjemahkan wacana itu sebagai satu iltizam yang jelas untuk melaksanakan reformasi secara konsisten, bertanggungjawab dan berlandaskan Perlembagaan.


“Dari sudut kerangka Perlembagaan, pengehadan tempoh jawatan merupakan satu mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden untuk membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang," katanya.


Menurutnya, pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak bertujuan melemahkan institusi eksekutif, tetapi untuk memperkukuh legitimasi, kepercayaan awam dan kestabilan sistem demokrasi negara dalam jangka masa panjang.


Beliau menjelaskan dalam rangka cadangan itu, kerajaan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, wakil masyarakat serta pakar dalam bidang tadbir urus dan perlembagaan.


“Langkah ini bertujuan memastikan pandangan semua lapisan masyarakat diambil kira secara menyeluruh dan kerajaan juga mempertimbangkan sokongan awam terhadap usaha memperkukuh kebertanggungjawaban pimpinan melalui penetapan had tempoh jawatan,” katanya.


Katanya, cadangan RUU itu mempunyai lapan fasal, iaitu meminda perlembagaan bagi memperuntukkan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, termasuk kaedah pengiraan tempoh jawatan serta perkara berkaitan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page