top of page

PKPB: AKTIVITI TERMASUK AKAD NIKAH DI MASJID SELURUH SABAH, KINI DIBENARKAN

Wartawan Nabalu News


8 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju dengan cadangan Mufti Negeri Sabah untuk

membenarkan aktiviti di masjid dan surau semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, aktiviti di masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah lima waktu dan solat jumaat di semua zon negeri Sabah.


“Bilangan jemaah solat lima waktu di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah 1/3 kapasiti dewan solat utama masjid dan surau.


“Manakala, bilangan ahli solat jumaat adalah mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.


“Aktiviti dan program masjid dan surau dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Masidi berkata, aktiviti kelas agama juga boleh diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.


“Majlis akad nikah dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkusan sahaja yang dibenarkan.


“Had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas,” katanya.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page