PKR hormat, terima keputusan rakyat Sabah
- nabalunews
- Nov 30
- 1 min read

30 November 2025
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) ke-17 yang berakhir semalam.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dal berkata, kedua-dua mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan pilihan raya negeri itu.
“Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang.
"Kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan bersama pada Ahad.
Menurut Nurul Izzah, keputusan PRU Sabah turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan tempatan.
Katanya, mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab.
Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera parti dan akar umbi yang telah mengorbankan masa, sumber dan tenaga tanpa lelah sepanjang kempen ini.
"Tahniah kepada semua calon yang diberikan mandat, termasuk kerusi tunggal yang diamanahkan kepada KEADILAN.
“Pikul amanah ini dengan kesungguhan, berkhidmatlah dengan tekad yang jujur, kerana setiap tindakan kalian akan menentukan masa depan rakyat yang memilih,” katanya.
Untuk rekod, PKR Sabah diberikan 12 kerusi dalam pilihan raya kali ini dan hanya berjaya memenangi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap melalui Jamawi Jaafar yang pertama kali ditandingi parti itu.


















Comments