top of page

Platform media sosial, pesanan Internet wajib mohon lesen mulai 2025, lindungi pengguna internet, kanak-kanak, keluarga - MCMC

  • nabalunews
  • Jul 27, 2024
  • 1 min read

27 Julai 2024


CYBERJAYA: Satu kerangka baharu bagi mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.


Langkah ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial (social media services) dan perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) mesti mematuhi undang-undang Malaysia.


Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerangka kawal selia tersebut yang berbentuk lesen ke atas pengendali platform akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.


"Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).


"Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588," kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan)

(Pengecualian) 2000.


Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.


Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat, serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page