PM adakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia
- nabalunews
- Jul 28, 2025
- 2 min read

28 Julai 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden republik itu, Prabowo Subianto.
Menurut kenyataan Wisma Putra, ia merupakan rundingan pertama antara Perdana Menteri dan Presiden Prabowo dalam kapasiti masing-masing.
“Kali terakhir Rundingan Tahunan diadakan ialah pada 2017, menjadikan rundingan kali ini peluang penting untuk mempertingkat hubungan strategik serta meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa.
“Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan hasil daripada Rundingan Tahunan Ke-13 ini,” menurut Wisma Putra.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu katanya, Anwar dan Prabowo juga akan menyaksikan upacara pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor sempadan darat, bidang kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
“Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN.
“Beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN tahun ini, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Malaysia terhadap integrasi serantau dan usaha pembinaan komuniti ASEAN,” katanya.
Turut mengiringi Anwar ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Rundingan Tahunan yang diadakan sejak 2006 secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara merupakan mekanisme dua hala tertinggi Malaysia dan Indonesia bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan komprehensif.
Ia mencerminkan komitmen politik yang kukuh untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, kerterjaminan makanan serta pendidikan.















Comments