top of page

PM: Kerjasama sektor berimpak tinggi Malaysia-Perancis terus berkembang

  • nabalunews
  • Jul 5
  • 1 min read

5 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama strategik antara Malaysia dan Perancis dalam sektor berimpak tinggi terus menunjukkan perkembangan positif.


Menurutnya, kerjasama itu merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi aeroangkasa menerusi Airbus, tenaga bersih melalui kerjasama PETRONAS dan syarikat Perancis, di samping bidang pendidikan tinggi, kecerdasan buatan (AI) serta pertukaran pelajar.


Anwar berkata demikian susulan pertemuannya dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang disifatkannya berlangsung dalam suasana terbuka dan jujur sekali gus mencerminkan tradisi keterbukaan dan toleransi yang menjadi tunjang kepada amalan demokrasi negara berkenaan.


“Saya mengangkat semangat ini sebagai asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mendepani pelbagai cabaran global dengan berani dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.


Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama global berlandaskan prinsip saling menghormati dan kepercayaan.


“Kami sependapat bahawa dalam dunia hari ini yang sarat ketidaktentuan, kerjasama tulen mesti berlandaskan rasa saling menghormati dan tidak melihat satu sama lain sebagai alat kepentingan, sebaliknya sebagai rakan setara dalam membentuk suatu tertib dunia yang lebih adil,” katanya.


Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usaha Macron memperjuangkan keamanan dan kestabilan dunia, termasuk ketegasan Presiden Perancis itu yang mendesak agar rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera.


“Malaysia kekal konsisten menolak keganasan terhadap orang awam dan segala bentuk pilih kasih,” ujarnya.


Selain itu, Anwar turut mengangkat konsep ‘Habits of the Heart’ yang diperkenalkan Alexis de Tocqueville, iaitu nilai bersama dan sifat kewarganegaraan yang menjadi asas penyatuan masyarakat.


Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menjadi rakan konstruktif dalam memperkukuh multilateralisme serta menyokong penyelesaian yang adil dan berkekalan demi keamanan sejagat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page