Polis Klasifikasi Kematian Lelaki di Kota Belud Sebagai SDR, Bedah Siasat Dijalankan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 8 September – Kematian seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang ditemui tergantung di dalam sebuah bilik di daerah ini semalam diklasifikasikan sebagai kes Mati Mengejut (Sudden Death Report - SDR), manakala mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk menjalani proses bedah siasat.
Ketua Pegawai Penyiasat (IO), Inspektor Frankie Pain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, Asmadi Jamatil, pada jam lebih kurang 4.20 petang semalam sebelum sepasukan polis segera melawat tempat kejadian bagi siasatan awal.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Asrawie Piani, seorang warganegara Malaysia berbangsa Bajau yang berstatus bujang dan bekerja sebagai mekanik.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pergelutan atau tanda-tanda yang mengarah kepada unsur jenayah. Pihak polis juga tidak menemukan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar kawasan mahupun saksi bebas yang melihat secara langsung kejadian tersebut. Di dalam bilik berkenaan, pihak berkuasa menemukan sebuah tangga mudah alih dan seunit kerusi getah berada di sebelah mayat.
Mayat mangsa yang dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk dokumentasi akan dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu pada hari ini bagi mengenal pasti punca kematian sebenar. Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 329 Kanun Tatacara Jenayah dan pihak polis telah mengeluarkan Borang Pol 61 untuk tujuan bedah siasat serta merakam percakapan pengadu dan saksi-saksi.
Saksi utama yang merupakan bapa saudara mangsa, Mai Jenar (69 tahun), memaklumkan kepada polis bahawa si mati tidak pernah menceritakan sebarang masalah atau perkara membimbangkan kepada ahli keluarga sepanjang tinggal bersama mereka di rumah terbabit.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Frankie di talian 019-215 1132 bagi membantu menyelesaikan siasatan.















Comments