top of page

Polis Labuan Tumpaskan Sindiket Scam, 13 Warga China Ditahan

  • nabalunews
  • 21 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


8 Mac 2026


LABUAN: Pasukan polis bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan membongkar sindiket penipuan dalam talian antarabangsa selepas menahan 13 warga China dalam satu serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pulau Buah, di sini, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim, berkata kesemua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 47 tahun itu ditahan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan.


Beliau memaklumkan, premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat panggilan (calling center) untuk menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.

"Kesemua suspek memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial. Hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika ditangkap," katanya.


Menurut beliau, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan teknologi dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu dengan nilai anggaran melebihi RM150,000.


"Sejumlah 21 set komputer dan 83 unit telefon bimbit telah dirampas di lokasi kejadian bagi membantu siasatan," ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun yang sama kerana bersubahat, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page