Polis Rampas 1.46 Kilogram Syabu, Tahan Pengedar Warga Asing
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

30 Oktober 2025
SANDAKAN: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah atas air, di kawasan Setinggan Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi jam 5 pagi itu, seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun ditahan dan sebanyak 1.46 kilogram dadah jenis syabu berjaya dirampas.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) berdasarkan maklumat dan risikan.

Katanya, suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pengedar serta penjaga stor penyimpanan dadah jenis syabu di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi berjaya menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkam seberat 1,464.4 gram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan sebanyak RM48,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”’katanya.
Sehubungan itu, George berkata, kejayaan ini adalah hasil komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah Sandakan.

“Polis Sandakan akan terus memperhebatkan usaha dan tindakan secara berterusan bagi memastikan jenayah dadah dapat dibanteras habis-habisan.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.


















Comments