Polis Sahkan Kes Tular Larikan Pacuan Empat Roda
- nabalunews
- Jun 13
- 1 min read

13 Jun 2025
PENAMPANG: Polis daerah ini mengesahkan kejadian kes curi kenderaan yang dilakukan seorang lelaki selepas melanggar kereta mangsa yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mengikut laporan diterima, kejadian berlaku di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, semalam.
Katanya, mangsa melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang dikatakan secara sengaja dilanggar oleh suspek ketika melalui sebuah kampung di Penampang.
“Kes melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda yang telah dilarikan seorang lelaki selepas kenderaan mangsa dilanggar oleh suspek.
“Namun demikian, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis dan usaha menjejaki suspek juga sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun dan denda.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Anis Abdullah di talian 013-6365734.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memuatnaik atau menyebarkan maklumat palsu di mana-mana platform media sosial yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Comments