Polis Tahan Seorang Lelaki, Rampas 5.01 Gram Syabu di Semporna
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
10 Mac 2026
SEMPORNA: Seorang lelaki warga Filipina berusia 26 tahun ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 5.01 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, awal pagi semalam.
Serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kira-kira jam 2.30 pagi itu turut menyaksikan penahanan suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam sebuah beg plastik berwarna hitam.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesalahan di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga kali jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, polis turun menahan dua lelaki warga Filipina berusia 30 hingga 36 tahun selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan perintah pengawasan sehingga dua tahun.
Semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah terdahulu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini tanpa berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut.















Comments