Polis tahan suspek kes pecah masuk bengkel kolam udang
- nabalunews
- Dec 26, 2024
- 1 min read

26 Disember 2024
TAWAU: Seorang lelaki tempatan, 53, disyaki terlibat kes pecah masuk bengkel kolam udang di Kg Wakuba, dekat sini, berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sekitar jam 10.30 malam di kawasan Kg Sungai Gading, Batu 18 Jalan Apas.
Menurutnya, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau susulan laporan polis oleh penyelia syarikat tersebut kira-kira jam 1.24 petang.
Insiden itu mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM3,000.
"Dalam serbuan itu, polis turut menemui semula beberapa peralatan bengkel yang dipercayai hasil curi iaitu sebuah mesin welding, sebuah mesin grinder dan sebuah mesin drill," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Jasmin berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.
Polis juga, kini sedang menyiasat samada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai rangkaian dengan individu lain dalam kes terbaharu itu.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda, atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Jasmin menasihatkan pemilik premis perniagaan agar meningkatkan sistem keselamatan, termasuk pengawal keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan kunci tambahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, khususnya ketika musim perayaan kerana risiko jenayah seperti pecah masuk cenderung meningkat.
Gambar
Suspek kes pecah masuk bengkel kolam udang berjaya ditangkap polis kurang 24 jam selepas kejadian.
Comentários