- nabalunews
Pope Francis tiba di Indonesia sempena dialog antara agama
3 September 2024
JAKARTA: Pemimpin Gereja Katolik, Pope Francis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Indonesia hari ini.
Lawatan empat hari Pope Francis yang berakhir pada Jumaat adalah sebahagian daripada program yang lebih luas untuk mempromosikan dialog antara agama di Indonesia, negara dengan jumlah umat Islam paling ramai di dunia, sebelum meneruskan perjalanan ke Papua New Guinea, Timor-Leste dan Singapura.
Ketibaan Pope Francis di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta disambut delegasi pegawai Indonesia, termasuk Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas serta wakil Gereja Katolik.
Pope dijadualkan melawat Kedutaan Vatican sebelum bertemu dengan Presiden Joko Widodo pada Rabu.
Itinerari beliau termasuk lawatan ke tapak keagamaan penting, termasuk Gereja Katedral dan Masjid Istiqlal.
Sebagai respons kepada lawatan itu, Joko Widodo melahirkan penghargaannya dengan berkata, "Bagi pihak rakyat Indonesia, saya amat mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Paus Francis atas lawatannya ke Indonesia," seperti yang dilaporkan oleh portal berita Kompas.
Comments