Potensi Mukim Taginambur perlu terus dibangunkan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Potensi Mukim Taginambur perlu terus dibangunkan - Ewon


Ewon (tengah) bersama Pengerusi Penganjur Kushan Keridau.

4 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan Mukim Taginambur merupakan pusat bagi kawasan DUN Kadamaian dan potensinya perlu dibangunkan secara berterusan.


Pembangunan berterusan mukim tersebut boleh dicapai dengan kerjasama semua penduduk, pemimpin, jentera perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.


“Saya akan terus berusaha menjadi sebahagian daripada impian dan wawasan warga Kadamaian untuk terus membangun bukan sahaja secara fizikal tetapi juga isu-isu yang menjadi keprihatinan utama warga Kadamaian,” katanya.


Ewon membeli buku cenderahati sebagai sokongan program itu.

Menurut Ewon lagi, selepas dipilih sebagai ADUN Kadamaian pada tahun 2018, beliau telah berusaha memainkan peranan yang sebaiknya untuk meneruskan kemajuan di kawasan Pekan Mini Taginambur dan Tamu Batu 10 Taginambur.


Antara yang telah dibina ialah penaikrarafan kawasan Tamu Batu 10, pembinaan Dewan Kadamaian Square, naiktaraf sebahagian jalan utama Tambulaung ke tamu dan pembinaan fasa awal kompleks keusahawanan desa.



“Hasil pembangunan dalam tempoh singkat tersebut kini boleh dinikmati oleh penduduk Mukim Taginambur dan Kadamaian, amnya,” katanya.


Ewon menyatakan demikian dalam perutusan beliau bagi sambutan Perayaan Hari Taginambur ke-70 tahun hari ini.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan semua penduduk Taginambur yang merayakan ulangtahun ke-70 dengan menyatakan bahawa sambutan peringatan tersebut penting bukan sahaja untuk memperkasakan kesatuan dan perpaduan di kalangan penduduk, tetapi juga tanda syukur ke atas pelbagai pencapaian selama ini dan masa untuk berikhtibar bahawa masih banyak lagi yang perlu diusahakan.


Ewon meluangkan masa bertemu para petugas sebelum meneruskan programnya di Pitas, hari ini.

Ketika ditanya lanjut oleh wartawan Nabalu News, Ewon menyatakan aspirasi dan keperluan pembangunan Mukim Kadamaian dan mukim-mukim lain di DUN Kadamaian telah dinyatakan dengan terperinci dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035.


“Pelan induk tersebut dicetuskan susulan kajian selama enam bulan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah yang saya minta sebaik sahaja dipilih menjadi Wakil Rakyat Kadamaian pada tahun 2018. Ianya menjadi dokumen kerajaan yang penting. Justeru, selagi saya menjadi ADUN Kadamaian, saya akan menjadikan pelan induk ini sebagai asas perkhidmatan dan perjuangan saya bagi kawasan ini,” katanya.



Sambutan tersebut yang mulanya diadakan di Dewan Kadamaian Square terpaksa dipindahkan ke Dewan Gopog Taginambur kerana masalah pendawaian elektrik yang belum dibaikpulih oleh Majlis Daerah Kota Belud.


Sambutan tersebut dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Maximus Ongkili.


Ewon meluangkan masa berkunjung ke Dewan Gopog Taginambur sebelum meneruskan programnya hari ini di Kg.Sinukab Bengkoka Pitas.

bottom of page