PPM Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM90,000
- nabalunews
- Sep 2
- 1 min read

2 September 2025
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 79,000 batang rokok seludup yang cuba disembunyikan dalam serbuan di sebuah rumah atas air, di Kampung Combo Laut, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, semua rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi serbuan dilancarkan atas maklumat risikan yang dijalankan pihaknya.
Katanya, pemeriksaan terhadap rumah di perkampung atas air berkenaan dipercayai menjadi tempat penyimpanan rokok tidak bercukai.
“Hasil pemeriksaan berjaya merampas sebanyak 79,000 batang rokok pelbagai jenama.
“Nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM94,800 dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Nazri menegaskan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.


















Comments