Premis jual gula mahal di Pekan Sugut diserbu KPDN Sandakan
- nabalunews
- Dec 10, 2024
- 2 min read

10 Disember 2024
BELURAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menyerbu sebuah premis yang didapati menjual gula pada harga yang mahal di Pekan Sugut, Beluran, pada Isnin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata, tindakan ini susulan aduan di media sosial baru-baru ini mengenai harga barangan yang mahal di sebuah premis perniagaan di Kampung Talidusun, Sugut.
Katanya sepasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Cawangan Sandakan kemudian menjalankan pemeriksaan di kedai tersebut pada Isnin.
Tambahnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah diambil ke atas premis perniagaan terbabit yang diurusniagakan oleh pemilik warga asing yang didapati menjual gula pasir putih bertapis (kasar) melebihi harga kawalan.
Pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit menjual gula putih bertapis (kasar) dengan harga RM3.00 sekilogram berbanding harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM2.85 sekilogram.
Ujarnya, sebanyak 77 kilogram gula putih bertapis (kasar) juga telah disita daripada premis perniagaan terbabit untuk tindakan selanjutnya di bawah AKHAP 2011.
Azdy berkata, sejak 1 September 2018, harga kawalan runcit bagi gula kasar telah ditetapkan pada RM2.85/kg
dan RM2.95/kg bagi gula halus.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Sandakan pada Selasa.
Katanya, sebanyak tujuh buah premis perniagaan di sekitar kawasan Sugut telah diperiksa pada Isnin dan semua peniaga telah diberikan nasihat agar menjual barang kawalan pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pemilik premis perniagaan turut diingatkan agar memastikan harga barangan yang dipamerkan adalah sama apabila pengguna membuat bayaran.
KPDN Cawangan Sandakan turut menasihatkan agar peniaga di daerah ini sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN, khususnya berkaitan mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual dan menjual barang kawalan terutamanya gula, minyak masak dan tepung gandum mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Tindakan tegas di bawah undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti penyelewengan bekalan serta penjualan bersyarat barang kawalan meliputi gula, minyak masak, tepung gandum, gas petroleum cecair, minyak petrol dan diesel," katanya.
Comentarios