top of page

PRK Kinabatangan, Lamag: SPR keluar 446 kertas undi pos

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

12 Januari 2026


KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 446 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.


Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengeluaran kertas undi pos dilakukan hari ini (12 Januari) oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh pegawai pengurus pilihan raya dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.


“Kertas undi pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan yang dikeluarkan adalah terdiri daripada 203 kertas undi pos Kategori 1A untuk petugas pilihan raya, anggota polis dan petugas media selain 48 kertas undi pos bagi Kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi.


“Manakala kertas undi pos bagi PRK DUN Lamag yang dikeluarkan merangkumi 155 undi pos Kategori 1A bagi petugas pilihan raya, anggota polis dan petugas media serta 40 undi pos bagi Kategori 1C untuk agensi dan organisasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Khairul Shahril berkata, semua pengundi pos diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus pilihan raya berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 24 Januari (Sabtu).


“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.


PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).


Bagi kerusi DUN Lamag pula, calon BN, Mohd Ismail Ayob berdepan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.


PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.


SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari, manakala hari pengundian awal pada 20 Januari.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page