top of page

PRN17 Peluang Sabah Tentukan Halatuju Baharu

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

24 November 2025


KIULU: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 disifatkan sebagai peluang terbaik bagi rakyat menentukan hala tuju baharu negeri ke arah yang lebih progresif melalui kepimpinan parti tempatan.


Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Joisin Romut berkata, pilihan pengundi akan menentukan sama ada Sabah bakal ditadbir oleh kerajaan yang benar-benar bebas daripada pengaruh politik luar atau terus bergantung kepada “kuasa seberang”.


“Pilihan di tangan kita untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan hasrat dan impian rakyat Sabah berasaskan aspirasi tempatan.


“Ini juga peluang untuk merealisasikan kehendak rakyat yang mahu melihat Sabah maju seperti Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Jelajah Sabah First oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, di sini, baru-baru ini.


Joisin berkata, Sabah telah menunggu terlalu lama untuk menikmati pembangunan setaraf Sarawak, namun kerjasama dengan parti luar sebelum ini tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.


Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya Sabah menilai semula bentuk hubungan dengan kerajaan pusat supaya pelaksanaan tanggungjawab terhadap negeri ini ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Sabah.


Jelasnya, parti tempatan lebih memahami realiti dan permasalahan yang dihadapi rakyat, sekali gus lebih layak membawa aspirasi negeri.


Beliau menggesa pengundi di Kiulu membuat pilihan bijak dengan memilih parti tempatan, sambil menyifatkan UPKO sebagai pilihan tepat berikutan rekod perjuangannya dalam mempertahankan hak negeri, termasuk tuntutan 40 peratus hasil dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“UPKO tegas dan konsisten menuntut hak negeri kerana hanya dengan mengembalikan hak tersebut, Sabah dapat memperoleh sumber yang diperlukan untuk memacu pembangunan sebenar yang telah lama dinantikan rakyat.


“Dengan kepimpinan berprinsip dan tegas di bawah Presiden UPKO, kita yakin suara serta kehendak Sabah dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan,” katanya.


Pada masa sama, Joisin turut menolak naratif sesetengah pihak yang mendakwa pembangunan tidak akan berlaku sekiranya sesuatu kawasan tidak ditadbir parti tertentu.


Beliau menegaskan bahawa peruntukan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan dan tidak boleh dipolitikkan.


“Pembangunan itu adalah duit kerajaan, dan ia mesti sampai kepada rakyat tanpa mengira parti. Yang lebih penting ialah perancangan serta pelaksanaannya.


“Dengan budaya kerja UPKO di bawah kepimpinan yang berprinsip, kami yakin mampu membawa perubahan yang lebih baik, bukan sahaja untuk Kiulu tetapi juga untuk Sabah secara keseluruhan,” ujar beliau.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page