Program Bicara Usahawan himpunkan 140 orang, sampaikan potensi pembiayaan agensi KUSKOP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program Bicara Usahawan himpunkan 140 orang, sampaikan potensi pembiayaan agensi KUSKOP

27 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUAMUT: Seramai 140 orang telah menghadiri Program Bicara Usahawan yang diadakan di Dongison Inap Desa Entilibon di sini pada Jumaat.


Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


Pengerusi Persatuan SWEA yang juga Ahli Lembaga Pengarah AIM Mohina Sidom berkata, program ini bertujuan untuk memberikan maklumat penting kepada usahawan di kawasan ini.


Tambah beliau, program ini bukan hanya memberi taklimat kepada peserta tetapi juga memperkenalkan potensi pembiayaan kepada usahawan-usahawan tempatan.


"Saya berharap usaha pada hari ini akan membantu ramai orang, ini kerana banyak agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan peluang pembiayaan kepada usahawan-usahawan.


"Ambilah peluang ini untuk mendengar taklimat dan mengambil maklumat penting menerusi program ini," katanya dalam ucapan beliau kelmarin.


Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politk kepada Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick, Carl Moosom.


Dalam pada itu, Mohina juga menyatakan harapan beliau agar program ini memberi manfaat kepada semua peserta dan juga meminta agar daerah Tongod dimasukkan dalam program Ehsan KUSKOP bagi membantu menangani kemiskinan di kawasan tersebut.


"Saya juga meminta kepada Carl, supaya menyampaikan kepada Yang Berhormat Menteri Datuk Ewon Benedick untuk memasukkan daerah Tongod dalam program Ehsan KUSKOP, yang buat masa ini tertumpu kepada Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.


"Program Ehsan KUSKOP yang bertujuan untuk menokhtahkan kemiskinan akan memberi manfaat kepada masyarakat disini jika dibawa ke Tongod. Kami sangat berharap supaya kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mempertimbangkan perkara ini.


Dalam ucapan beliau, Mohina turut menekankan pentingnya program ini diadakan bukan hanya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut sahaja tetapi juga untuk keseluruhan Sabah.


"Bukan untuk DUN Kuamut saja, apabila mesyuarat Lembaga AIM, memang saya sering katakan mesti utamakan Sabah sebab keadaan kita yang berbeza dari Semenanjung Malaysia yang mana masih ramai penduduk di negeri kita yang hidup dalam kesusahan."


Selain itu, Mohina Sidom turut menggariskan usaha Lembaga AIM dalam membantu komuniti setempat.


"Kami juga telah membawa Yayasan Bank Rakyat ke daerah kita dan telah banyak membantu sekolah dan pelajar di daerah Tongod ini.


"Kami juga telah mengadakan kursus khas untuk wanita yang saya harap boleh membantu wanita-wanita di daerah ini."


Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Penganjur, Alsa Sunsing Timbalan Pengurus Wilayah Amanah Ikhtiar Malaysia, Maljada, Pengurus AIM cawangan Telupid/Tongod Samsudin Lidan, pegawai daripada agensi TEKUN Rozita dan pegawai daripada SKM Sainidin, Kakitangan Klinik Kesihatan Entilibon, Persatuan Peniaga Wanita Sabah, Koperasi Niaga Kuamut Berhad, warga AIM, dan para Usahawan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page