Program "Challenge Weight Lose" Semarakkan Gaya Hidup Sihat di Kampung Tambulion
- nabalunews
- Aug 2, 2025
- 2 min read

2 Ogos 2025
KOTA BELUD: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran, hadir menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program ‘Challenge Weight Lose’ yang dianjurkan oleh Kelab Badminton Five Star Tambulion. Program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan komuniti setempat.
Program tersebut, yang bermula pada 18 April 2025, telah mencapai kemuncaknya dengan sesi penimbangan berat badan peserta yang berlangsung hari ini. Dalam usaha menyemarakkan semangat kesukanan, kelab turut menganjurkan acara sukaneka yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pelbagai lapisan.
Pengerusi Kelab Badminton Five Star, Florinah Ekus, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Jolyhame atas kesudian hadir bersama dan sumbangan dana yang diberikan sebelum ini untuk menyokong program.

Beliau turut berterima kasih kepada kesemua peserta yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pertandingan, kepada para penyumbang yang telah membantu menjayakan program dari segi kewangan, keperluan material dan juga sumbangan tenaga.
“Matlamat utama program ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti sukan. Ia bukan sahaja menyasarkan golongan belia, malah turut melibatkan penyertaan aktif daripada kalangan ibu-ibu,” jelas beliau.
Jolyhame, dalam ucapan beliau, turut merakamkan penghargaan terhadap usaha berterusan pihak kelab dalam memperkasakan kesihatan komuniti. Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini bukan sahaja berperanan dalam meningkatkan tahap kesihatan awam, malah mengukuhkan jalinan silaturahim sesama ahli kelab dan masyarakat setempat.
“Saya amat menghargai dan menyokong penuh segala inisiatif yang memupuk gaya hidup sihat. Usaha ini secara tidak langsung menyatupadukan komuniti melalui semangat kesukanan dan kebersamaan,” ujar beliau.
Sebagai simbol sokongan dan penghargaan, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan. Johan pertandingan penurunan berat badan disandang oleh Johnika Jaim yang berjaya mencatatkan penurunan berat paling memberangsangkan sepanjang tempoh program.
Dengan penganjuran program seperti ini, Kampung Tambulion terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti yang sihat dan sejahtera, selaras dengan aspirasi untuk membentuk masyarakat yang aktif, bersatu dan prihatin terhadap kesihatan diri serta orang sekeliling.















Comments