Program CSR Pemuda UPKO Kota Belud: Bantuan Untuk Mangsa Kebakaran Melangkap Kapa

Oleh: Romie Stanley DGuns
2 Mac 2026
KOTA BELUD: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud pada 28 Februari lalu telah menyalurkan sumbangan kepada keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa minggu lalu, sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) gerakan itu.
Bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras, selimut, dan kelengkapan wanita telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran. Kehadirannya disertai barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda, Setiausaha UPKO Bahagian Kota Belud, Anichlose Kesimin dan Ketua Cawangan UPKO Kaung Sokid Geoffery Magaran serta Juin Kolod.
Menurut Jolyhame, inisiatif tersebut merupakan respons segera pihaknya terhadap musibah yang menimpa penduduk, sekali gus menghulurkan sokongan moral kepada keluarga yang sedang dalam kesusahan.

"Kami berharap agar sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan. Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah tampil membantu," katanya ketika ditemui selepas program penyerahan.
Beliau menamakan Peropok Jaya, D'Arc Hotel, dan Grapevine Garden sebagai antara pihak yang memberi sumbangan kepada program CSR kali ini.
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 21 Februari lalu, sebanyak 11 buah rumah musnah sepenuhnya manakala tiga lagi dilaporkan mengalami kerosakan akibat dijejaskan api. Kebakaran tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk kampung yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Tambah Jolyhame, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat setempat dalam apa jua bentuk yang mampu dilaksanakan, selari dengan semangat keprihatinan yang menjadi teras perjuangan UPKO.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering.















Comments