Program “I Care Kadamaian” Ringankan Beban Masyarakat Melalui Sumbangan Alat Bantu
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

11 Disember 2025
KOTA BELUD: Program I Care Kadamaian anjuran Kelab Kebajikan Kadamaian, dipimpin oleh Pengerusinya Shainim Epin dengan sokongan pasukan Homeward, terus komited membantu masyarakat di kawasan Kadamaian. Melalui program ini, beberapa alat bantu kesihatan seperti tiga katil boleh laras dan dua kerusi roda boleh laras telah diserahkan kepada penerima yang memerlukan.
Antara penerima bantuan ialah Gambolah Gawadoh (Kampung Gonok), Gunting Takupan (Kampung Pangi, Kelawat), Nico Panunda (Kampung Nahaba), Betania Sandalun (Kampung Talungan) dan Kantiging Kambati (Kampung Penempatan Wariu).
Bantuan tersebut disalurkan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan serius dan memerlukan kemudahan tambahan bagi meningkatkan keselesaan serta memudahkan penjagaan harian di rumah.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama CSR Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai sokongan terhadap inisiatif kebajikan yang digerakkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban fizikal dan kewangan keluarga penerima, khususnya penjaga yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan insan yang dirawat.

Ewon menegaskan bahawa melalui program sebegini, komitmen beliau untuk memastikan kebajikan rakyat Kadamaian terus diberi keutamaan dapat diteruskan terutama bagi warga emas, pesakit terlantar, OKU serta keluarga berpendapatan rendah. Usaha ini mencerminkan prinsip bahawa setiap anggota masyarakat berhak menerima sokongan sewajarnya.














