top of page

Program JoW Perlu Diperluas Ke Lebih Banyak Kawasan Pedalama

  • nabalunews
  • 20 minutes ago
  • 2 min read

ree

20 Ogos 2025


TUARAN: Program Justice on Wheels (JoW) Jabatan Bantuan Guaman (JBG) perlu diperluaskan ke lebih banyak kawasan pedalaman supaya lebih ramai rakyat di Sabah dapat menikmati akses kepada perkhidmatan bantuan guaman.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata usaha itu penting kepada kesejahteraan rakyat kerana ia memastikan sistem keadilan bersifat inklusif serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.


“Program ini, yang menumpukan kepada penyampaian keadilan secara menyeluruh dan efisien khususnya kepada mereka di kawasan luar bandar atau kurang bernasib baik, juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bahawa tiada seorang pun rakyat yang tertinggal dalam mendapatkan akses kepada keadilan,” katanya semasa Program JoW di Dewan Seri Sulaman, pada Rabu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.


Menurut Hajiji, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan peranan JBG untuk membela hak golongan kurang berkemampuan mendapatkan keadilan yang saksama.


“Pelbagai pembaharuan telah diusahakan bagi mempromosikan perkhidmatan bantuan guaman serta menyebarkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan.


“Ini penting untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada proses perundangan yang adil hanya kerana ketidakmampuan atau kurangnya pengetahuan mengenai kemudahan yang disediakan sejak 54 tahun lalu,” jelasnya.


Beliau berkata perolehan sebuah van khas bagi Sabah, dikenali sebagai Van JoW Sabah, yang dilancarkan di Penampang pada Januari 2024, adalah bukti komitmen Kerajaan Madani selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan akses kepada keadilan bagi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.


Sepanjang tahun 2024, JBG telah melaksanakan 28 program JoW di Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kedah dan Terengganu.


Tahun lalu, program JoW di Sabah telah dilaksanakan di lima daerah iaitu Pitas, Tongod, Papar, Sipitang dan Paitan.


Tahun ini pula ia bermula di Kampung Gas Batu Sapi, Dewan Masyarakat Tawau dan Mahkamah Syariah Lahad Datu pada Februari, diikuti Dataran Bagandang Beaufort pada Julai, sebelum Tuaran.


Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pengarah Bantuan Guaman Jabatan Bantuan Guaman Datuk Norazmi Mohd Narawi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page