top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program KERANAMU SINAMBUNG pupuk semangat STEM di kalangan pelajar Kudat

29 September 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUDAT: Program Kerjasama Erat Amalan Pendidikan STEM Unggul Sinambung (KERANAMU SINAMBUNG) telah berjaya dilaksanakan dengan lancar pada Sabtu lalu (23 Sept) di SMK Banggi, di sini.


Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat Matius Alok berkata, program yang diadakan pada sulung kalinya ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan melalui aktiviti-aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah serta meningkatkan modal insan dalam bidang STEM di kalangan pelajar sekolah.


“Program yang menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam aspek dana ini dianjurkan oleh SMK Banggi dengan kerjasama Sektor Pembelajaran PPD Kudat, Tenom Innovation Centre (TIC) yang beroperasi penuh di SMJK Chung Hwa, Tenom, dan ABA’AL Makerspace IPG Kampus Keningau.


“Kami ingin para murid lebih terbuka dan berminat untuk mempelajari Bidang STEM melalui aktiviti-aktiviti yang kami sediakan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Matius.

Seramai 10 orang sukarelawan terlibat secara langsung dalam tiga slot utama program ini, yang melibatkan 140 orang murid SMK Banggi dan 60 orang murid sekolah rendah dari enam buah sekolah saluran.


“Slot utama program ini meliputi perkongsian tentang ruang reka pintar atau Makerspace, pengenalan kepada pengaturcaraan dan robotik, serta 3D Designing dan Printing.


"Slot kedua iaitu pengenalan kepada pengaturcaraan dan robotik adalah salah satu slot yang paling diminati, dengan empat stesen yang menyediakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berbeza,” tambah Matius.


Menurutnya, pihak TIC juga turut menyumbangkan bahan rujukan berkaitan robotik kepada sekolah menengah dan sekolah rendah yang terlibat dalam program ini sebagai sokongan dalam meningkatkan kemahiran robotik di kalangan pelajar.


“Dengan kejayaan program KERANAMU SINAMBUNG ini, kami berharap agar SMK Banggi dapat terus meningkatkan pendidikan STEM di peringkat sekolah.


“Program ini adalah titik mula untuk menghidupkan semangat SUMORIBAU STEM di Pulau Banggi dan daerah Kudat," ujarnya.


Dalam pada itu, Matius turut menzahirkan harapan agar dapat memperoleh sumbangan dari segi dana, tenaga, dan bahan-bahan agar dapat meneruskan dan menjayakan program ini pada tahun-tahun yang akan datang.


“Kita juga sangat memerlukan dana dan sokongan kepakaran robotik untuk mewujudkan Banggi Innovation Centre,” tambahnya.

bottom of page